Jumaat, 16 Mac 2012

Inxpiracy:KAHWIN SEMASA BELAJAR ANTARA KEBAIKAN DAN CABARAN


Secara ringkasnya kebaikan kahwin semasa belajar ialah apabila perkahwinan tersebut mampu memberikan motivasi kepada mereka. Ini kerana mereka merasakan perlu untuk lebih bertanggungjawab dan matang dalam membuat keputusan dan tindakan sama ada terhadap pembelajaran mahupun keluarga. Kehidupan mereka juga lebih teratur dan  terancang dari sudut masa dan aktiviti. Desakan dan keperluan membahagikan dan mencaturkan masa untuk perkara yang lebih penting  perlu diberi keutamaan. Malah, apa yang lebih utama, ianya boleh menghindarkan diri daripada maksiat dan gejala tidak bermoral yang semakin berleluasa di IPTA dan IPTS.

Cabarannya pula adalah kekangan kewangan untuk menanggung pengajian dan keperluan keluarga. Hal ini perlu kepada perancangan yang teliti dan rapi kerana kegagalan dalam menyelesaikan masalah ini mungkin akan menyebabkan pengajian terbantut. Kehadiran anak dalam situasi yang belum bersedia kadang-kala memberi masalah dan cabaran kepada mereka. Justeru, perancangan yang rapi dan matang adalah perlu untuk mengelakkan sebarang masalah timbul. Perkahwinan dalam usia dan keadaan yang belum matang boleh  menyebabkan penceraian berlaku. Justeru, berkahwin semasa atau selepas belajar bukanlah persoalannya, tetapi persediaan dari semua aspek terhadap ilmu dan cabaran alam rumahtangga perlu dititikberatkan dan diutamakan.

Baru-baru ini, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dalam ucapannya pernah mencadangkan dan menyarankan rakyat Iran terutamanya golongan wanita agar berkahwin pada usia 16 tahun. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor yang dirasakan munasabah. Saya merasakan cadangan dan saranan ini sebagai suatu yang menarik untuk difikirkan dan dikaji. Di Malaysia, baru-baru ini juga, kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Ketua Menterinya Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Ali Rustam pernah mencadangkan supaya ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka berkahwin walaupun masih bersekolah bagi mengekang gejala hamil luar nikah. Bagi tujuan berkenaan,  Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersetuju memberi kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki bawah umur 18 tahun dan bawah 16 tahun bagi pelajar perempuan. Bagi Kerajaan Negeri Melaka, ini adalah langkah terbaik untuk menangani gejala buang bayi dan kes hamil luar nikah. Namun, saya tidak merasakan ianya adalah penyelesaian terbaik untuk menagani isu ini kerana ianya perlu dilihat kepada punca utama yang lebih mustahak kepada permasalahan ini.

Isu berkahwin semasa belajar ini perlu diteliti dan dibincang secara terbuka dan matang oleh semua pihak. Keterbukaan dalam menerima dan membincangkan isu ini dapat memberi momentum yang positif kepada mahasiswa dalam memastikan mereka memperoleh kecemerlangan dalam pelajaran mahupun rumahtangga. Setiap keputusan yang dibuat akan memberi impak yang besar kepada mahasiswa, proses pembelajaran, keluaraga juga kepada usaha melahirkan graduan yang berkualiti.

0 ulasan:

Catat Ulasan